Another Malay post. If you don’t have an inkling of what Malay language is about, stay clear

Apa erti kemerdekaan kepada anda semua? Adakah, pada anda, merdeka bermaksud dapat bercuti satu hari untuk melepak atau menonton perarakan Hari Merdeka? Adakah, pada anda, merdeka bermaksud pergi bercuti bersama keluarga di air terjun atau pusat peranginan? Adakah, pada anda, merdeka bermaksud berparti dan berdansa sambil peluk-peluk dan raba-raba di tempat awam sehingga pagi buta?

Untuk warga yang melalui zaman merdeka, mungkin kemerdekaan mempunyai maksud yang lain. Tanggapan mereka terhadap 31 Ogos mungkin berlainan dengan golongan selepas merdeka. Di saat kita semua warga selepas merdeka bergembira menyambut 31 Ogos, mungkin ada di kalangan golongan sebelum merdeka menitiskan air mata mengenangkan kepahitan hidup dijajah orang asing. Mungkin juga air mata yang dititiskan itu adalah tanda kegembiraan golongan ini mengenangkan yang kita sudah bebas dari cengkaman penjajah asing - yang kita sudah merdeka, dan boleh berdikari dalam menguruskan hal dalam negara kita sendiri.Ada yang menganggap remeh erti kemerdekaan ini. Ada yang menganggap yang kita sudah merdeka dan kita boleh buat apa saja. Ada yang menganggap yang kita sudah merdeka dan kita tak akan dijajah lagi selepas ini. Apa yang mereka lupa ialah mereka sendiri boleh menyebabkan penjajah itu kembali menjajah kita, di saat kita sudah merdeka. Lihat saja contoh-contoh yang ada di sekililing kita - kerajaan maha besar membedil kerajaan kecil dengan alasan negara kecil itu mempunyai senjata nuklear dan perlu dihalang. Akhirnya, senjata nuklear tidak dijumpai, tetapi nyawa beribu-ribu orang yang tidak berdosa yang dijumpai. Mungkin “dijumpai” adalah istilah yang terlalu ringan, ianya lebih kepada “berkeliaran”.

Pada saya, kemerdekaan yang diperolehi oleh golongan sebelum merdeka merupakan sesuatu yang tiada tolok bandingnya. Kemerdekaan bukanlah sesuatu yang boleh dibandingkan harta benda, malah ianya tidak mungkin boleh dijual beli. Benar, kemerdekaan seseorang hamba boleh dibeli, tetapi kemerdekaan sesebuah negara sangat bergantung kepada rakyatnya, samada rakyatnya sanggup untuk berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, dan juga bergantung kepada kesanggupan rakyatnya mempertahankan kemerdekaan yang telah diperolehi. Saya mungkin tidak seperti sesetengah yang sanggup menghabiskan duit untuk membeli bendera untuk digantung, samada pada kereta atau di rumah, tetapi saya fikir saya tidak kurang patriotiknya sekiranya dibandingkan dengan golongan itu. Sekiranya berlakunya kecemasan yang mengancam keselamatan negara, saya mungkin antara orang yang menyahut cabaran kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Mungkin ada yang menganggap saya ini tidak patriotik dengan tidak menggantung bendera. Mungkin ada yang setuju dengan kenyataan seorang menteri yang beliau kecewa rakyat Malaysia tidak menunjukkan semangat patriotisme dengan menggantung bendera. Bagi saya, patriotik atau tidak seseorang itu bergantung kepada kesanggupannya untuk mempertahankan negara walaupun sehingga mati dan bukannya dengan berapa banyak bendera yang dibeli dan digantung. Patriotisme bukan saja bermaksud semnuanya mesti menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan - kadang-kadang, dengan menggunakan bahasa asing, kita mungkin boleh menyiapkan sesuatu tugas itu dengan lebih efisien.

Saya mungkin orang Malaysia, tetapi penggunaan bahasa kebangsaan saya terhad kepada semasa berada di sekolah dan universiti - menyebabkan penggunaan bahasa kebangsaan menjadi kurang fasih, tetapi ianya tidak menjadikan saya kurang patriotik dalam apa segi pun :)

Related Posts:

Selamat Hari Merdeka Yang Ke 50!
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan
50th Merdeka logos & headers
Pulau Sayak pt2
Happy Birthday, Malaysia!
Some Friday jokes
7 days week
Movin’, movin’